Pengalaman mengajar di pedalaman
Selamat Datang

 

MENGAJAR di sekolah pedalaman tanpa sistem pengangkutan yang teratur dan menikmati kehidupan sosial yang terhad bukanlah suatu impian guru baru.

Lazimnya, perkara ini disandarkan kepada guru-guru lelaki yang disifatkan mempunyai ketabahan, kecekalan dan suka perkara yang mencabar.

Namun hakikatnya, sifat keperimanusiaan dan rasa belas kasihan adalah punca utama kebanyakan guru lelaki masih `bertahan' menyumbang bakti kepada para pelajar di kawasan berkenaan.

Ismaisham Ismail, 25, mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris kepada pelajar tingkatan empat dan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan, Dabong, Kuala Kerai, Kelantan.

Untuk ke sekolah tersebut yang 48 kilometer dari jalan utama, dia terpaksa melalui hutan tebal dan terdedah kepada binatang buas.

Walaupun sekadar pernah terserempak dengan binatang seperti babi hutan namun cerita-cerita rakan dan orang kampung mengenai `pak belang' yang berkeliaran menyebabkan dia sentiasa berhati-hati.

``Mula-mula sampai, terkejut juga, walaupun jarak tidak jauh dari jalan utama tetapi hutan di kiri kanan yang membuatkan kita kadang-kadang kecut perut, macam di safari,'' katanya.

Beliau yang merupakan lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui program Teaching English as Second Language (TESL) mengakui tugas mengajar pelajar di kawasan tersebut amat mencabar.

``Suasana persekitaran bukanlah suatu cabaran tetapi mengajar pelajar di kawasan inilah suatu cabaran yang menuntut kesabaran yang tinggi,'' katanya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Hampir semua pelajarnya lemah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, justeru beliau terpaksa mengulang pengajaran dari asas.

``Kita perlu mengajar mereka perlahan-lahan, kadang-kadang saya rasa putus asa, tetapi bila melihat kesungguhan mereka untuk belajar, timbul perasaan kasihan dan ini yang menguatkan keazaman saya,'' katanya.

Walaupun pelajarnya tidak cemerlang namun Ismaisham merasa puas kerana dapat mencurah bakti di kawasan yang terpencil itu.

Guru Matematik, Mohd Ridzuan Fuad, 23, dari Rancangan Penempatan Semula (RPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Ting, Gerik, Perak langsung tidak menyangka beliau akan ditempatkan di sekolah kawasan pedalaman.


MOHD RIDZUAN FUAD

``Masa mula-mula terima tempat `posting' saya ingatkan mengajar di Raja Perempuan School (RPS) rupa-rupanya mengajar anak orang asli di Tasik Banding,'' katanya.

Beliau terpaksa menyusuri tasik berkenaan untuk ke sekolah yang mengambil masa kira-kira 45 minit jika menaiki bot milik Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau satu jam setengah menaiki bot orang asli.

Seperti juga Ismaisham, Ridzuan menyifatkan persekitaran bukanlah suatu cabaran sebaliknya mendidik anak-anak orang asli yang tidak pernah terdedah kepada dunia luar adalah cabaran sebenar.

``Sebenarnya, perasaan saya lebih kepada kasihan kepada mereka yang mempunyai mahu belajar tetapi persekitarannya tidak menggalakkan,'' katanya.

Ridzuan memilih pendekatan mengajar pelajar-pelajar berkenaan seperti mengajar pelajar di kelas-kelas pemulihan.

``Kalau mengajar kita tidak boleh ikut sukatan kerana taraf IQ mereka ini rendah, ilmu itu kurang masuk,'' katanya yang berasal dari Felda Chuping Perlis.

Katanya, walaupun pelajar-pelajar berkenaan berminat untuk belajar tetapi dunia pendidikan hanya terhad di sekolah, di rumah mereka tidak pernah mengulangkaji pelajaran.

``Kalau boleh saya mahu mendedahkan mereka kepada dunia luar melihat sendiri kemajuan negara kita tetapi masalah kewangan menyebabkan rancangan ini lambat dapat dilaksanakan,'' katanya yang merupakan lulusan Maktab Perguruan Sungai Petani, Kedah.

Bagi Izral Farizal Haron, 24, dari Sekolah Kebangsaan Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun, Gerik, Perak yang juga ditugaskan mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris kepada anak-anak orang asli di kawasan tersebut.


IZRAL FARIZAL HARON

``Pada awalnya memang berat hati hendak mengajar di sekolah tersebut kerana sudah biasa hidup di bandar, lebih-lebih lagi kawasan tersebut memang terpencil, tiada talian telefon,'' katanya.

Menurut beliau, kebanyakan pelajarnya lebih suka menolong ibu bapa pergi menoreh pokok getah daripada menuntut ilmu.

``Pengetahuan mereka tentang pendidikan memang sifar, masih ada yang datang ke sekolah tanpa baju seragam dan tidak memakai kasut,'' katanya.

Menurut beliau, misinya bukan sekadar mendidik mereka tentang ilmu pendidikan tetapi ilmu kehidupan supaya mereka tidak ditipu oleh pihak-pihak yang suka mengambil kesempatan.

``Kasihan budak-budak ini, kebanyakan mereka beragama Islam tetapi minda mereka masih tertutup tidak mengetahui kepentingan ilmu,'' katanya.

Beliau juga berusaha membawa pelajar-pelajar ini keluar daripada kepompong kehidupan mereka melalui pendedahan terhadap aktiviti kokurikulum.

``Melalui aktiviti ini mereka berpeluang untuk berkunjung ke bandar dan melihat sendiri perbezaan budaya dan kemajuan ilmu berbanding tempat sendiri,'' katanya.

Beliau yang berasal dari Kangar, Perlis dan merupakan lulusan Maktab Perguruan Persekutuan, Pulau Pinang, berharap dapat membawa perubahan kepada masyarakat ini terutama untuk mengubah kehidupan mereka.

( Sumber : www.tutor.com.my )